12 MEI : Kepengerusian ASEAN 2025 ini perlu dimanfaatkan sewajarnya oleh Malaysia dalam memperluas pasaran halal dan menembusi pasaran ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata produk halal tempatan masih belum dapat memasuki pasaran ASEAN meski banyak produk Indonesia dan Thailand dipasarkan di Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata kegagalan itu susulan usaha pemasaran yang masih belum mencukupi.
“Oleh kerana 600 juta merupakan satu pasaran yang realitinya besar untuk produk-produk halal Malaysia dipasarkan, maka usaha-usaha yang dilakukan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) adalah untuk menyebarluaskan pasaran dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang di Butterworth, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mencadangkan Majlis Halal ASEAN ditubuhkan di samping penganjuran Forum Halal ASEAN, September ini.
Selain itu katanya, melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), pemain industri ASEAN dijemput untuk padanan perniagaan dengan bakal pengimport.
Tambahnya, Malaysia juga mengadakan satu usaha sama bagi pengembangan gelatin halal ke pasaran ASEAN dan antarabangsa yang setakat ini hanya mempunyai satu pengeluar di Malaysia.
Malaysia terus menerajui industri halal global dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024 yang menyaksikan peningkatan 15 peratus berbanding 2023 dan mengekalkan kedudukan di tangga teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.