13 MEI : Kerajaan memantau rapat perkembangan berkait keselamatan rakyat Malaysia di rantau Asia Selatan.
Wisma Putra memaklumkan, pihaknya sudah berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad serta pejabat-pejabat konsulat di negara berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Perwakilan Diplomatik Malaysia berkaitan juga katanya sudah berhubung dengan rakyat Malaysia yang masih berada di India dan Pakistan.
“Ini meliputi bantuan konsul dan khidmat nasihat kepada rakyat Malaysia yang terkandas susulan penutupan ruang udara dan gangguan operasi syarikat-syarikat penerbangan melibatkan 32 lapangan terbang di bahagian barat dan utara India, dan lapangan terbang Islamabad, Lahore dan Karachi di Pakistan,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, bantuan disalurkan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai juga Chennai kepada lebih 350 rakyat Malaysia yang berada di sana dengan tujuan melancong atau bekerja di kawasan terjejas.
Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi menyalurkan bantuan dari segi penginapan, kebajikan serta penyelarasan perjalanan rakyat Malaysia yang terkesan.
Katanya, setakat hari ini, lebih 100 rakyat Malaysia dibantu di mana sebahagian besar sudah berlepas pulang atau dijadualkan berlepas pulang dalam masa terdekat.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia yang berada di India dan Pakistan, terutamanya yang berada berhampiran kawasan sempadan, dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat,” kata Wisma Putra.
Rakyat Malaysia juga digesa agar menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan sempadan dan kekal berada di kawasan yang lebih selamat.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh berhubung secara langsung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada waktu pejabat menerusi talian +9011 2415 9300 atau +9011 2415 9311 dan selepas waktu pejabat hubungi talian kecemasan di +90 85955 50564.
Bagi rakyat Malaysia yang berada di Pakistan, boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad pada waktu pejabat melalui talian +9251 2072900 sambungan 123 atau 125, manakala bagi kecemasan di luar waktu pejabat hubungi nombor +923028443021.
Selain itu, sebarang bantuan melalui Bahagian Konsular, Kementerian Luar di Putrajaya hubungi talian +603 8887 4412 atau +603 8887 4771 pada waktu pejabat atau kecemasan di luar waktu pejabat hubungi Bilik Perhubungan 108 di talian +603 8887 4570.
Semalam, India mengumumkan pembukaan semula 32 lapangan terbang selepas ditutup kepada operasi penerbangan awam susulan sekatan ruang udara ekoran ketegangan dengan Pakistan minggu lalu.