13 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru siasatan menyeluruh dijalankan terhadap nahas yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), pagi tadi.
Beliau juga mahu bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi.
Pihak berkuasa diseru untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh serta menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pagi tadi, lori dinaiki 18 anggota FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh dirempuh sebuah lori bermuatan pasir di Jalan Chikus–Sungai Lampam dipercayai akibat kegagalan stereng.
Akibat kejadian itu, sembilan anggota FRU disahkan meninggal dunia sementara dua lagi cedera parah.
Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan kesembuhan segera terhadap semua mangsa yang cedera.
“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin selain dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan lapan anggota FRU terbabit nahas itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
“Dua anggota masih menerima rawatan di Zon Merah manakala tujuh anggota lagi di Zon Kuning.
“Pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan. Saringan awal mendapati dia negatif dadah,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sembilan anggota yang terkorban adalah:
1. Sarjan S Perumal, 44 tahun,
2. Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46 tahun (meninggal dunia di Hospital Teluk Intan),
3. Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41 tahun,
4. Koperal Nurit Ak Pandak, 34 tahun,
5. Koperal Amiruddin Zabri, 38 tahun,
6. Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 tahun.
7. Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 tahun,
8. Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 tahun dan
9. Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun.