14 MEI : Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan larangan bagi sebarang aktiviti menerbangkan dron sepanjang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Melalui satu kenyataan di Facebook, CAAM berkata larangan itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 24 Mei .
“CAAM menegaskan orang ramai agar tidak menerbangkan dron sepanjang penganjuran LIMA`25 di Langkawi, Kedah.
“Larangan ini termasuk tempoh bermula dari 14-19 Mei 2025 iaitu sepanjang latihan pertunjukan udara yang turut melibatkan kawasan Alor Setar, Kedah serta dari 20-24 Mei 2025 iaitu semasa pertunjukan udara LIMA`25 berlangsung di Langkawi,” katanya.
Mengulas lanjut, CAAM berkata larangan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.
“Ini bertujuan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan orang ramai serta pelbagai jenis pesawat yang sedang mengadakan latihan dan pertunjukan udara di beberapa lokasi sekitar Langkawi,” katanya.
Tegas CAAM, sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).
*OLEH : HANUM RAJAK