Malaysia-Rusia teroka kerjasama baharu pelbagai bidang strategik

14 MEI : Malaysia dan Rusia menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.
Ini termasuk dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan, tenaga, pertanian, pelancongan serta pertukaran budaya dan saintifik.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin di Moscow, hari ini.
Menurutnya, beliau turut menyampaikan penghargaan Malaysia atas kerjasama diwujudkan termasuk Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC).
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan hasrat Malaysia untuk menggandakan produk eksport ke Rusia.
“Malaysia menghargai pelbagai mekanisme kerjasama yang telah diwujudkan, termasuk Suruhanjaya Bersama JCESTC yang akan bersidang semula di Langkawi hujung tahun ini.
“Dari segi perdagangan, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Rusia seperti peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar, di samping meningkatkan eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Selain itu, menurut Anwar, Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan langsung asing dari Rusia, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital, tenaga dan agroteknologi, selain menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bersama.
“Kami turut berbincang mengenai penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia serta langkah-langkah meningkatkan keterhubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.
“Sebagai tanda keakraban hubungan yang semakin erat, saya turut menyampaikan jemputan rasmi kepada PM Mishustin untuk berkunjung ke Malaysia bersama delegasi kerajaan dan perniagaan Rusia dalam masa terdekat,” katanya.
Kata Anwar, beliau turut menzahirkan penghormatan kepada Mishustin atas usaha beliau melaksanakan reformasi institusi di Rusia iaitu satu pendekatan yang selari dengan agenda reformasi yang sedang digerakkan di Malaysia menerusi gagasan MADANI.
Terdahulu, Anwar diberikan sambutan rasmi di Kremlin sempena lawatan rasmi empat harinya ke Rusia dan disambut Presiden Rusia, Vladimir Putin di Bilik Hijau sebelum keduanya mengadakan mesyuarat secara tertutup.

*OLEH : HANUM RAJAK