14 MEI : Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan pembaharuan berani bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan anggota.
Perkara itu disuarakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa intervensinya dalam High-Level Session II – Peacekeeping Reform: More Effective and Safer Peacekeeping pada forum UN Peacekeeping Ministerial 2025 yang berlangsung di Berlin pada Rabu.
Katanya, anggota pengaman hari ini terpaksa berdepan cabaran yang semakin rumit sekali gus pentingnya evolusi berterusan dalam misi pengaman PBB.
“Anggota pengaman dilengkapkan dengan peralatan dan persenjataan berteknologi tinggi amat penting. Integrasi strategik teknologi canggih dalam operasi pengaman berperanan sebagai penghalang berkesan terhadap pihak yang bermusuhan.
“Integrasi ini akan meningkatkan keupayaan pasukan untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan terhadap ancaman baharu dalam misi pengaman,” katanya, lapor Bernama.
Selain itu, kata Mohamed Khaled, PBB juga perlu memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti.
Katanya, Malaysia amat menitikberatkan kepentingan latihan khususnya dalam aspek kebolehoperasian bersama, perkongsian ilmu serta peningkatan keselamatan dan keberkesanan keseluruhan pasukan.
“Apabila misi menjadi lebih kompleks, adalah penting untuk kita melabur dalam program latihan yang bukan sahaja membangunkan kecekapan operasi asas tetapi juga mempersiapkan anggota bagi mengintegrasikan dan menggunakan teknologi canggih dengan berkesan.
“Pada masa sama, kita mesti memastikan kerangka institusi dan dasar berkembang seiring dengan perkembangan teknologi ini.
“Ini termasuk menyemak semula doktrin operasi, mengemas kini prosedur operasi standard serta menetapkan garis panduan yang jelas bagi penggunaan teknologi baharu secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

*Foto : Facebook Khaled Nordin