Pemilihan Cabang PKR 2025 lebih tertib berbanding sebelum ini
14 MEI : PKR menyifatkan Pemilihan Cabang yang berlangsung April lalu jauh lebih tertib dan teratur berbanding pemilihan-pemilihan yang terdahulu.
Ketua Penerangannya, Datuk Fahmi Fadzil berkata sistem baharu yang digunakan juga menggambarkan PKR menjamin integriti sesiapa yang dipilih tanpa gangguan mana-mana pihak.
“Kali ini parti telah buat keputusan awal untuk memanfaatkan teknologi dan tidak membenarkan berkumpul beramai-ramai untuk (proses) mengundi di peringkat cabang. Kita dapati proses seperti itu amat membantu menjaga tertib dan disiplin.
“Malah keputusan itu bagi saya tepat kerana pertama menunjukkan PKR sebuah parti yang pandang ke depan, memanfaatkan teknologi seperti blockchain untuk tujuan menjamin integriti pemilihan utuh dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak, di samping disiplin (ahli) patuh keputusan parti untuk tidak berkumpul lebih 50 orang di satu-satu tempat,” katanya pada wawancara khas Sinar Harian.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata proses pemilihan itu juga jauh lebih tenang tanpa ada mana-mana pemilihan yang tergendala sepenuhnya seperti yang berlaku pada 2019.
“Bagi saya ia 1,000 kali lebih baik berbanding sebelum ini. Saya sangat tidak setuju bahawa ia adalah pemilihan yang bising, tapi kita semua faham demokrasi itu bingit…ia bingit, tapi bukan chaos.
“Jadi kebingitan itu penting, menjadi cerminan kepada kerencaman pandangan dan sikap. Itulah demokrasi. Bagi saya ini peluang baik untuk parti diberi satu semangat baharu tanpa kita meninggalkan mana-mana pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu percaya kepimpinan parti akan berlaku adil dalam meletakkan ahlinya di tempat yang selayaknya demi terus mengukuhkan hala tuju parti meski tewas atau tidak terpilih pada akhir proses pemilihan.
“Itulah konsep PKR dan macam pengalaman saya sendiri tahun 2022, kali pertama saya bertanding waktu itu sebagai Naib Presiden, tapi tewas tidaklah teruk.
“Namun pimpinan merasakan saya masih boleh berbakti, masih boleh membantu parti maka saya dilantik menjadi Ketua Penerangan walaupun tewas, tapi saya dilantik.
“Jadi saya lihat parti ada banyak ruang dan memberi banyak peluang kepada semua yang ingin terus berkhidmat kepada parti, nusa serta bangsa,” katanya.
Selepas penamaan calon ditutup pada Sabtu lalu diikuti proses bantahan pada 11 dan 12 Mei, rayuan bantahan pada 13 dan 14 Mei, tarikh akhir penarikan diri 14 Mei, senarai muktamad calon 15 Mei, tempoh kempen 15hingga 22 Mei dan pengundian pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadual berlangsung 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.