Anwar bangkitkan insiden MH17 kepada Putin

15 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 dalam pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menurut Anwar, insiden itu dibangkitkan ketika rundingan dua hala di Kremlin bagi mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat insiden itu.
“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Rusia, malam tadi.
Beliau diminta mengulas berkait perkembangan terkini keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyatakan Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di Ukraine pada 2014.
Laporan ICAO menyebut, pesawat malang itu ditembak ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur menggunakan peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine.
Menurut Anwar, Putin mendengar dengan teliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, Presiden Rusia itu menegaskan beliau sudah menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain mahu isu tersebut tidak dipolitikkan.
Putin berkata, sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan, Rusia sedia memberikan kerjasama untuk mempastikan laporan tersebut lebih berwibawa.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberi Putin itu
“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Rusia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.
