Dunia global kini depani krisis nilai, hilang arah moral

15 MEI : Dunia hari ini bukan hanya berdepan cabaran teknologi dan peralihan kuasa global.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kita kini berdepan krisis nilai dan kehilangan arah moral.
Anwar yang diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum bertajuk “ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), hari ini menekankan perkara itu.
“Dalam syarahan, saya tegaskan bahawa cabaran utama hari ini bukan hanya pada teknologi dan peralihan kuasa global, tetapi pada krisis nilai dan kehilangan arah moral. Generasi muda harus menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan tenaga baharu, namun tetap berpaksikan pada nilai dan ihsan.
“Dalam konteks ini, gagasan MADANI menawarkan jalur holistik, mengimbangi kemajuan material dengan kekuatan jiwa dan peradaban. Ini selari dengan ‘Rusian soul’ (jiwa Rusia) yang menekankan kekayaan budaya dan kemanusiaan dalam mendepani zaman yang mencabar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menerima ijazah kedoktoran kehormat daripada MGIMO atas sumbangannya mempromosikan keamanan global dan kerjasama antarabangsa.
Dalam pada itu, Anwar sempat berkongsi tentang kekagumannya terhadap kesusasteraan Rusia yang mendalam dari psikologi moral Dostoyevsky, renungan falsafah Tolstoy, ironi halus Chekhov hinggalah puisi getir Anna Akhmatova.
“ Karya-karya ini bukan sahaja memperkaya jiwa Rusia, malah menyuburkan nurani kemanusiaan sejagat yang semakin terhakis,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar juga membangkitkan tentang pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini, yang berlangsung dalam semangat keterbukaan dan saling menghormati.
“Prinsip kesetaraan yang dizahirkan menjadi asas penting dalam membina dunia yang lebih adil dan aman.
“Saya akhiri syarahan ini dengan menyeru hadirin untuk tidak gentar menyatakan perkara yang hak dan mempertahankan keadilan adil. Seperti kata Dostoyevsky, ‘segalanya ada dalam genggaman manusia, tetapi manusia melepaskannya kerana takut’,” katanya.
Usai di Moscow, Anwar dijadual ke Kazan bagi menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik ‘Russia-Islamic World’ dan menyertai KazanForum.

*OLEH : HANUM RAJAK