15 MEI : Tiada keperluan untuk kerajaan meminda undang-undang sedia ada bagi mendakwa pihak bertanggungjawab dalam nahas yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan pindaan tersebut.
“Saya dapati ramai netizen termasuk pemimpin, NGO (badan bukan kerajaan) yang melihat siasatan dan tanggungjawab mesti diletakkan kepada tuan punya syarikat serta tuan punya kenderaan berkenaan.
“Undang-undang sedia ada mencukupi untuk menyiasat tuan punya kenderaan dan syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perkhidmatan Kecemerlangan dan Apresiasi 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan terhadap kes itu.
“Untuk tuan punya syarikat atau tuan punya lori itu, siasatan akan dilakukan melalui PUSPAKOM dan terletak di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita serah kepada pihak Kementerian Pengangkutan melalui JPJ dan PUSPAKOM untuk melakukan siasatan,” katanya.
Kelmarin, trak dinaiki 18 anggota FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh dirempuh sebuah lori bermuatan pasir di Jalan Chikus–Sungai Lampam dipercayai akibat kegagalan stereng.
Akibat kejadian itu, sembilan anggota FRU disahkan meninggal dunia sementara dua lagi cedera parah.