15 MEI : Kemajuan teknologi dalam kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai satu cabaran besar yang perlu dipelajari dan dimanfaatkan segera warga Kementerian Komunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil teknologi AI perlu dimanfaatkan sebagai pemudah cara dalam melaksanakan kerja.
“Bayangkan AI seperti Waze atau Google Map. Ia bantu kita cari laluan yang kurang sesak dari titik A ke B. Tapi pemandunya masih lagi kita.
“Jadi nasihat saya kepada warga Kementerian Komunikasi agar segera fahamkan dan manfaatkan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunkasi Zon Semenanjung, hari ini.
Dalam ucapan sama, Fahmi berkata penggunaan teknologi ketika ini juga perlu seiring dengan etika dan tanggungjawab.
Tegasnya, kemajuan teknologi juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan komitmen dalam melaksanakan tugasan.
“Tapi IA tidak bermakna kita harus kurang cemerlang ataupun kurang mengerah keringat. Kerja tetap kerja tapi boleh dipermudah dengan menggunakan AI,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang awam agar menggunakan AI secara berhemah bukannya membuta tuli.
“Cuma kita perlu berhati hati. Samalah juga kalau kita menggunakan Waze. Bila kita memandu sekiranya Waze kata masuk ke bendang, janganlah masuk.
“Kadang kita dengar berita pemandu terikut sangat Waze. Kita perlu menjadi pemandu yang berhemah. Gunalah AI dengan selamat,” katanya.