Malaysia pastikan tiada eksploitasi terhadap pekerja Bangladesh
16 MEI : Malaysia menegaskan komitmen dalam memastikan tiada manipulasi atau eksplotasi pekerjaan terhadap warga Bangladesh di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyuarakan perkara itu kepada Penasihat kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Dr Asif Nazrul ketika menerima kunjungan hormat di pejabatnya pada Khamis.
Justeru itu, Saifuddin berkata Malaysia mengharapkan kerjasama berterusan Bangladesh dalam merealisasikan perkara itu.
“Saya telah menerima kunjungan hormat Dr Asif Nazrul, di pejabat saya. Pertemuan ini memberi ruang untuk membincangkan secara mendalam isu-isu berkaitan pengurusan pekerja asing dari Bangladesh di Malaysia yang terkait beberapa perkara dasar dan operasi bagi pengurusan tenaga kerja asing dan juga komitmen utama Kerajaan dalam menurunkan kos migrasi.
“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan tiada manipulasi, eksploitasi atau penipuan pekerjaan berlaku terhadap warga Bangladesh yang berada di negara ini dan juga mengharapkan kerjasama berterusan daripada pihak Bangladesh agar dapat memastikan perkara ini direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Kerajaan Bangladesh atas sokongan yang berterusan dalam usaha memperkemas pengurusan pekerja asing di Malaysia.
Katanya, Malaysia dan Bangladesh akan terus bekerjasama rapat demi kepentingan kedua-dua negara.

*OLEH : HANUM RAJAK