Malaysia-Tatarstan perluas kerjasama perdagangan, pelaburan, industri halal

16 MEI : Malaysia dan Republik Tatarstan sepakat untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan selain penerokaan industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kesepakatan itu dicapai dalam pertemuannya dengan Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov di Kazan pada Khamis.
Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, pertemuan itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia–Rusia melalui saluran wilayah.
“Saya nyatakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, kewangan Islam dan industri halal serta menzahirkan penghargaan atas jemputan ke Kazan.
“Kami bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk menerusi penyertaan aktif dalam Kazan Forum serta penerokaan industri halal dan kewangan Islam yang kian berkembang di Tatarstan.
“Kerjasama dalam bidang pertanian turut diberikan perhatian, khususnya dalam pembangunan baja untuk menjamin sekuriti makanan, di samping membincangkan bidang pendidikan teknikal, teknologi aeroangkasa dan sains,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook usai pertemuan tersebut.
Dalam hantaran sama, Anwar memaklumkan Rustam turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap Kumpulan Visi Strategik ‘Russia–Islamic World’.
“Mesyuarat yang akan berlangsung esok adalah kesinambungan komitmen bersama kita untuk memperkukuh persefahaman, dialog antara agama dan keterangkuman sejagat,” katanya.
Menurut Anwar, selepas pertemuan itu, beliau turut dibawa melawat ‘Cathedral of the Annunciation’ yang terletak di dalam kawasan Kazan Kremlin.
“Kagum melihat binaan bersejarah abad ke-16 ini yang menggambarkan keagungan seni bina Ortodoks Rusia dan menjadi saksi kepada sejarah panjang pertembungan budaya di wilayah ini.
“Berhadapan dengan katedral ini berdiri megah Masjid Kul Sharif, simbol penting peradaban Islam di Tatarstan. Keberadaan dua rumah ibadah ini secara bersebelahan melambangkan semangat persefahaman dan keharmonian antara penganut agama berbeza yang telah lama berakar di bumi Rusia,” katanya.
Terdahulu, ketibaan Anwar di Kazan disambut Rustam dan diraikan dengan sambutan tradisional masyarakat Tatar Rusia selain dihidangkan manisan chack chack dan rkaravay yang menjadi simbol adat turun-temurun bagi memuliakan tetamu.

*OLEH : HANUM RAJAK