17 MEI : Sebanyak 32,436 kandungan berkaitan penipuan (scam) dalam talian diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari hingga April lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata kandungan diturunkan itu melibatkan kerugian hampir RM800 juta.
Menurut Nie Ching, trend itu begitu membimbangkan susulan jumlah kandungan yang diturunkan dalam tempoh empat bulan itu hampir separuh daripada keseluruhan kandungan yang diturunkan sepanjang 2024 iaitu sebanyak 63,652.
“Berdasarkan angka dibekalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian yang diakibatkan penipuan dalam talian ialah RM799 juta. Jadi, kita perlulah melipatgandakan usaha kita untuk mendidik masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA), hari ini.
Katanya, program kesedaran siber sedang giat dijalankan MCMC di sekolah seluruh negara.
“Kita berhasrat memperluas program ini ke sekolah menengah dan universiti awam. Kita juga menyeru pihak sekolah dan institusi pendidikan untuk bekerjasama dalam menyokong usaha pendidikan keselamatan dalam talian,” katanya.
Menyentuh soal program NANBA hari ini, Nie Ching berkata ia menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti India khususnya golongan belia.
Katanya, inisiatif itu menumpu kepada usaha memperkasa masyarakat India melalui pelbagai pengisian dan penyampaian maklumat berkaitan dasar kerajaan.
“Melalui program NANBA, golongan belia diberi pendedahan tentang pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan MADANI yang sedang dan akan dilaksanakan, selain menggalakkan penyertaan aktif dalam pembangunan negara,” katanya.
