Malaysia tak jual balak untuk kaut untung

17 MEI : Malaysia tidak akan mengaut keuntungan melalui balak dan memilih untuk terus mengekalkan kelestarian alam.
Penegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara eksklusif bersama TV BRICS pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata kekayaan balak di Malaysia dilindungi dan prinsip itu akan terus dipegang.
beliau menjelaskan bahawa lebih 52 peratus daripada tanah negara masih diliputi hutan dara, menjadikan Malaysia antara negara yang paling hijau di rantau ini.
“Kita boleh meraih banyak keuntungan sekarang hanya dengan menjual kayu balak, tetapi kita tidak melakukannya.
“Mengapa? Kerana kita mahu melindungi warisan kita dan alam sekitar. Itulah prinsip kita walaupun ia memerlukan pengorbanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang usaha ASEAN dalam menangani perubahan iklim.
Mengulas lanjut, Anwar berkata negara lain tidak sepatutnya menekan Malaysia dan negara membangun lain dengan apa yang perlu dilakukan dalam isu alam sekitar sedangkan mereka sendri merosakkan alam sekitar.
“Kita tidak boleh terus-menerus mendengar desakan sesetengah negara perindustrian yang mengarahkan kita apa yang patut dilakukan, sedangkan mereka sendiri telah merosakkan alam sekitar dan tidak menunaikan janji-janji sokongan mereka,” katanya.
Katanya, negara-negara berkenaan juga tidak memenuhi komitmen dalam menyediakan bantuan kewangan serta teknologi dijanjikan kepada negara membangun.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia