Jangan bermusuh walau beza pendapat, pesan Anwar

19 MEI : Akar umbi PKR diingatkan agar tidak bermusuhan ketika melalui proses Pemilihan PKR 2025 meski berbeza pendapat.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan itu sambil menekankan kepentingan menerapkan sifat ihsan dan berkasih sayang dalam diri ahli.
Ia bagi memastikan sebarang pertikaian dapat dilerai sebaiknya selain meredakan suhu dalam parti.
“Saya yakin walaupun dalam pemilihan parti ada persaingan sengit tapi selesaikan dan santuni semula dan bermaaf-maafan. Jangan ambil sikap bermusuh walaupun berbeza pendapat.
“Yang bersaing timbalan, naib presiden, pemuda, wanita adalah dalam kalangan sahabat lama dan setia dan sebahagian besar adalah pejuang asal yang banyak berjasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat PKR Cabang Langkawi, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Perdana Menteri, semua pihak perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan ketika berkempen.
Pada masa sama, beliau mengingatkan agar jasa dan pengorbanan mana-mana pemimpin lama berkhidmat dalam parti tidak dinafikan.
Dalam pada itu, menyentuh soal senarai calon yang bertanding pada pemilihan parti kali ini, Anwar berkata ramai yang layak untuk dilantik bagi jawatan tertinggi parti.
Namun beliau sekali lagi mengingatkan agar semua pihak beradan dan berakhlak dalam berkempen.
“Saya tengok senarai, ramai cukup layak. Kalau ada dua jawatan timbalan, dua orang saya sokong. Kalau tengok semua ada rekod yang baik.
“Tapi kalau dah pilih A atau B atau C, janganlah rendahkan martabat orang lain. Dalam perjuangan kena ada adab dan akhlak dan jangan lupa teras MADANI…ini soal nilai, kena jaga sebagai teras. Soal akhlak jadi keutamaan.
“Kita harus menghentikan siri cercaan dan pergelutan sesama anggota serta mesti kembali kepada jalur untuk merangkul kekuatan secara bersama selain mengangkat nilai dan akhlak yang baik,” katanya.
