19 MEI : Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang mengaktifkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) penuh dengan melancarkan Infrastruktur Strategik AI.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata projek itu menunjukkan langkah penting dalam pembangunan AI domestik.
Katanya, melalui projek itu, model bahasa seperti DeepSeek dan hosting servers secara dalaman dikumpulkan di satu tempat bagi memastikan data diproses secara tempatan yang dapat melindungi privasi pengguna dan keselamatan data.
“Keistimewaan projek ini ialah data akan disimpan di Malaysia, diuruskan rakyat Malaysia, dan juga digunakan oleh rakyat Malaysia, jadi ini adalah bagaimana kita sebenarnya boleh menjaga kedaulatan AI kita.
“Kini ia tidak lagi seperti cloud atau pusat data berada di luar negara, sebaliknya ia kini di Malaysia. Pelayan (server) juga di Malaysia, diuruskan oleh Malaysia dan ejen AI juga akan dibangunkan oleh rakyat Malaysia.
“Saya fikir ini adalah bagaimana kita boleh menyetempatkan aplikasi AI di Malaysia,” katanya, lapor Bernama.
Teo bercakap pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Strategic AI Infrastructure: Trusted, Sovereign and Global, hari ini.
Menurut Teo, projek itu juga menandakan penggunaan pertama cip dan pelayan Huawei bersama-sama dengan model bahasa besar DeepSeek di luar China yang pertama di rantau ini.
“Jadi ini adalah yang pertama di luar China, kita amat berbangga, bermakna dari segi penggunaan AI dan aplikasi AI, Malaysia sememangnya akan menjadi peneraju di ASEAN, dari segi aplikasi dan penggunaan AI,” katanya.
Menurutnya lagi, infrastruktur AI nasional lengkap yang pertama di Malaysia itu direka untuk memperkasakan kerajaan, perniagaan dan universiti dalam memanfaatkan AI untuk meningkatkan perkhidmatan, meningkatkan produktiviti dan memacu inovasi.