19 MEI : Isu penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan dan menjadi ancaman besar kepada struktur sosial, keselamatan awam, serta kestabilan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata belum tamat ancaman dadah, muncul pula ancaman baharu iaitu vape ‘mushroom’.
Katanya, bahan berisiko tinggi dalam vape itu menyebabkan halusinasi dan gangguan mental.
Justeru itu, beliau mengarahkan agar tindakan tegas diambil segera bagi membanteras gejala itu.
“Lebih merisaukan, kini muncul pula ancaman baharu iaitu vape ‘mushroom’ yang mengandungi bahan psikoaktif seperti psilocybin dan psilocin yang berisiko tinggi menyebabkan halusinasi dan gangguan mental, khususnya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.
“Saya telah arahkan supaya tindakan tegas segera diambil, tanpa kompromi untuk membanteras perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Tahun 2025.
Katanya, dalam usaha menggempur gejala itu, kerajaan hari ini meluluskan pelan strategik Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027.
“Dalam usaha menggempur musuh nombor satu negara ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil. 1 Tahun 2025 bagi memastikan pendekatan menyeluruh, strategik dan tegas diambil dalam membanteras gejala ini.
“Mesyuarat hari ini telah meluluskan Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027, sebuah pelan strategik yang menumpukan kepada perubahan sikap, peningkatan kesedaran, dan penyampaian maklumat yang tepat melalui sinergi pelbagai agensi ke arah gerakan nasional melawan dadah secara kolektif.
Mesyuarat juga telah bersetuju untuk memperkukuh aspek pengesanan dan rawatan menerusi Crime Data Network Analysis serta pelaksanaan Drug Assessment Centre (DAC) oleh Angensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menggunakan pendekatan Single Point Entry,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu berganding bahu demi masa depan negara bebas daripada ancaman dadah.
“Kita tidak boleh menang perang ini secara bersendirian. Justeru, saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin komuniti, NGO, pemuda-pemudi agar kita bersatu.
“Jika kita mahu masa depan negara ini bebas daripada ancaman dadah, maka perjuangan ini mesti menjadi perjuangan kita bersama.
“Saya tegaskan, kerajaan tidak akan berganjak walau seinci pun dalam memerangi dadah demi melindungi generasi pewaris negara. Sama-sama kita doakan agar usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Aamiin,” katanya.
*Foto : Facebook Zahid Hamidi
*OLEH : HANUM RAJAK