20 MEI : Demi mencapai sasaran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi, Malaysia perlu mempercepat ekosistem baharu pembelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penyertaan pelajar dalam program kejuruteraan juga perlu dipertingkatkan.
“Negara memerlukan 60,000 jurutera sekarang tapi kita hanya boleh mengeluarkan kira-kira 6,000 sahaja setahun. Jadi kita mesti mempercepat ekosistem baharu dalam pembelajaran untuk mengejar matlamat itu.
“Jadi kita tumpukan juga kepada lepasan pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh selain daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Maahad Tahfiz swasta untuk kita mengambil mereka bagi menyertai bidang kejuruteraan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dengan lima pemain industri sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata kerajaan juga kini menumpu kepada pengambilan lebih ramai lepasan Maahad Tahfiz untuk program kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa di UniKL dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Menurutnya, terdapat 1,962 pelajar sedang mengikuti kursus aeroangkasa di UniKL kini dengan 129 daripadanya adalah huffaz lepasan Maahad Tahfiz Ulul Albab.
“Saya bersyukur kerana pelajar-pelajar huffaz ini diterima dengan baik bukan sahaja oleh UniKL MIAT tapi juga pihak industri.
“Mereka mampu menguasai silibus yang diperkenalkan dengan baik dan dari segi praktikal, mereka juga cepat menyesuaikan diri,” katanya.