20 MEI : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kelewatan serius mana-mana kes hingga mengambil masa 10 tahun untuk diselesaikan tidak berulang.
Melalui satu kenyataan, JPN berkata melalui penambahbaikan itu, pihaknya akan menetapkan garis masa yang munasabah bagi penyelesaian kes siasatan kompleks.
Kata JPN, tindakan segera itu susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mendedahkan satu siasatan permohonan kad pengenalan dikendalikan JPN mengalami kelewatan serius sehingga mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.
“JPN menghormati fungsi pengawasan dan penyeliaan yang dilaksanakan oleh EAIC. Berdasarkan dapatan yang telah dikemukakan, JPN mengambil serius setiap teguran serta syor penambahbaikan yang diberikan, termasuk aspek pengurusan kertas siasatan dan penyimpanan dokumen penting.
“Selain itu, JPN juga akan melaksanakan latihan semula serta pemantapan kompetensi pegawai penyiasat dan meneliti tindakan tatatertib seperti yang dicadangkan EAIC ke atas pegawai yang didapati cuai atau gagal melaksanakan siasatan kes,” kata JPN.
Dalam pada itu, langkah penambahbaikan yang diambil bukan sahaja untuk menangani isu yang dibangkitkan namun juga usaha berterusan yang akan sentiasa diberi keutamaan seiring aspirasi reformasi sektor awam yang digariskan oleh Kerajaan Madani.