20 MEI : Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan warga emas yang berisiko tinggi agar mendapatkan suntikan vaksin influenza secara percuma di klinik kesihatan terpilih.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan seruan itu untuk semua warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik.
Menurut KKM, langkah pencegahan itu bagi mengurangkan kadar kemasukan ke hospital ke hospital akibat jangkitan influenza.
“KKM menyeru semua warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan.
“Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi,” kata KKM dalam kenyataan itu.
Menurut KKM, janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera namun jika warga emas terbabit tidak memilikinya, boleh hadir secara fizikal ke Klinik Kesihatan (KK) yang tersenarai untuk mendapatkan suntikan.
“KKM menggalakkan warga emas yang hadir bagi rawatan susulan untuk penyakit kronik di KK agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat dan bertanya berkenaan kelayakan menerima vaksin tersebut secara percuma,” kata KKM.
Pemberian vaksin influenza secara percuma itu dilaksanakan di bawah Program Imunisasi Influenza Warga Emas yang bermula sejak 18 Februari lalu.