21 MEI : Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, dokumen itu akan diedarkan kepada media selepas pelancarannya, kelak.
“Kementerian Luar dan Sekretariat ASEAN 2025 akan memastikan media menerima beberapa dokumen yang terkandung dalam deklarasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan, hari ini.
Malaysia menjadi tuan rumah untuk Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Terdahulu, Fahmi meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC.
Laman web rasmi ASEAN 2025 menyatakan Deklarasi Kuala Lumpur berkait Visi Komuniti ASEAN 2045 dijangka akan ditandatangani dan dilancarkan pada 26 Mei ini.
Sempena persidangan itu, turut dijadual berlangsung adalah dua mesyuarat peringkat tinggi iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.