Deklarasi Kuala Lumpur rujukan utama hala tuju ASEAN

21 MEI : Deklarasi Kuala Lumpur bakal menjadi rujukan utama hala tuju masa depan rantau ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa, malam ini.
Menurut Anwar, deklarasi itu merupakan hasil perbincangan menyeluruh melibatkan pemimpin politik, tokoh akademik dan pegawai kanan kerajaan.
Katanya, deklarasi itu mencerminkan komitmen ASEAN untuk menuju kepada pelaksanaan yang lebih konkrit.
“Kita bentangkan gambaran menyeluruh mengenai perkara yang perlu diberi perhatian seperti tadbir urus dan pembangunan digital dan ia antara bidang utama yang akan diketengahkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, keamanan dan keselamatan kekal sebagai asas penting kemajuan serantau dan deklarasi ini memberi penekanan terhadap bidang strategik bagi menjamin pembangunan jangka panjang ASEAN,” katanya.
Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-16, minggu depan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata draf deklarasi itu juga sudah dibincangkan dalam kalangan pemimpin ASEAN sebelum ini.
Katanya, draf itu dipersetujui untuk diteruskan ke peringkat pelaksanaan.
“Ada konsensus yang kuat, draf sudah diteliti dan dipersetujui, kini yang penting ialah komitmen pelaksanaan dalam kalangan negara anggota,” katanya.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia