PM Anwar pandu uji Proton e.MAS 7

21 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memandu uji kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Proton, e.MAS 7.
Berkongsi perkara itu, Anwar berkata dalam kesibukan tugasnya, beliau berpeluang mencuba dan memandu e.MAS 7 di sekitar kawasan pejabatnya, hari ini.
Menurut Anwar, Proton e.MAS 7 merupakan satu lagi pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara.
“Proton e.MAS 7 dipilih sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena jawatan Pengerusi ASEAN 2025.
“Pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan melahirkan keyakinan EV keluaran Proton itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kenderaan elektrik negara.
Selain itu katanya, e.MAS 7 juga seiring dengan komitmen Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang
“Insya-Allah, saya percaya Proton e.MAS 7 ini akan menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik negara, khususnya ketika kita menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Inisiatif ini juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
“Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK