21 MEI : Kerajaan Negeri Sarawak bakal memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd menjelang 31 Disember ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata selepas memetrai Perjanjian Jual Beli (SPA) antara syarikat penerbangan Sarawak, AirBorneo Holdings Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) pada Februari lalu, kedua pihak kini sedang memenuhi syarat yang diperlukan.
“Ini termasuk mendapatkan kelulusan kawal selia daripada pihak berkuasa penerbangan utama sepertiti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
“Proses itu turut melibatkan pemindahan aset daripada MAG kepada AirBorneo dan persediaan bagi operasi peralihan yang lancar,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dr Jerip berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan) yang bertanya sama ada proses pengambilalihan MASwings sudah diselesaikan dan sama ada perubahan pemilikan itu akan menjejaskan operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Menurut Dr Jerip, meski berubah pemilikan, namun rangkaian RAS yang beroperasi untuk kawasan pedalaman serta kurang perkhidmatan di Sabah dan Sarawak dikekalkan.
Selain itu, beliau juga menjamin semua petugas MASwings akan dikekalkan selepas pengambilalihan.
“Seluruh petugas MASwings akan dikekalkan dan pengalaman mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan operasi serta kesinambungan perkhidmatan semasa dan selepas proses peralihan,” katanya.
Dr Jerip juga memaklumkan perjanjian interim RAS antara kerajaan Persekutuan dan MASwings Sdn Bhd yang ditandatangani pada 19 Disember 2024 akan terus berkuat kuasa hingga tamat tempoh 31 Disember ini.