22 MEI : Perdana Menteri China, Li Qiang dilaporkan bakal menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China sulung di ibu negara, minggu depan.
Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mempengerusikan ASEAN bagi 2025 menyampaikan jemputan itu, sebelum ini.
Menurut Kementerian Luar China, Li akan berada di Malaysia pada 26 hingga 28 Mei.
Sidang Kemuncak tiga hala itu dijadual berlangsung pada 27 Mei ini iaitu sehari selepas Sidang Kemuncak ASEAN bermula.
Sempena kepengerusian ASEAN tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah untuk kedua-dua mesyuarat tersebut yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara ASEAN, GCC dan China dalam sektor utama.
“Negara-negara ASEAN dan GCC adalah anggota penting dalam kalangan ekonomi pasaran sedang pesat membangun di Asia dan Selatan Global,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning yang dipetik daripada Anadolu Ajansi (AA).
Katanya, sidang kemuncak itu bakal menggalakkan pembangunan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.
Sebelum ke Kuala Lumpur, Li dijadual mengadakan lawatan negara ke Indonesia dari 24 hingga 26 Mei atas jemputan Presiden Prabowo Subianto.