22 MEI : Barisan Nasional (BN) perlu bekerja untuk memulihkan kepercayaan rakyat dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu rakyat termasuk perumahan, pekerjaan dan masa depan anak muda perlu diangkat.
“BN perlu kembali sebagai kekuatan yang mampu memimpin dengan kestabilan dan dasar yang menyelesaikan isu berkenaan.
“Kunci kejayaan adalah pemulihan kepercayaan, bukan hanya menambah undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Better Nation Forum Siri Empat: Apa yang boleh kita pelajari dari PRU Kanada, Singapura dan Australia’, malam ini.
Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN bukan lagi sekadar pencatur politik namun mesti menjadi teras kestabilan nasional.
“BN mesti jadi teras kestabilan nasional, bukan sekadar pencatur politik. Di Kanada pengajarannya ialah naratif ‘hope’ dan keterangkuman masih relevan jika disampaikan dengan jujur dan bersungguh.
“Pengajaran dari Singapura adalah politik berdasarkan kecekapan dan penyampaian yang konsisten dan Australia ialah adaptasi kepada isu semasa dan suara masyarakat,” katanya.
Justeru itu, Ahmad Zahid berkata transformasi perlu dilakukan BN terhadap organisasi dan komunikasi membabitkan jentera politik dengan menggunakan data, ‘microtargetting’ serta komunikasi dua hala.
Selain itu katanya, rakyat semakin celik dan menuntut politik berisi serta pemimpin yang bukan sekadar ahli politik namun seorang negarawan.
“Forum yang diadakan bukan hanya untuk belajar dari luar tetapi untuk bangunkan formula tempatan dengan semangat global.
“BN harus terus meneladani hikmah, memperbaiki pendekatan dan membina politik nilai,” katanya.