22 MEI : PKR yakin peristiwa Kongres Nasional pada 2019 di Melaka tidak akan berulang pada tahun ini.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan keyakinan itu dan percaya ahli parti itu akan kembali merapatkan saf sokongan terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri.
Beliau menjangkakan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung esok akan berakhir dengan tenang tanpa perpecahan.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata suasana panas ketika ini tidak menjurus kepada peristiwa 2019 yang berlaku di Melaka.
“Saya lihat PKR sebelum ini sudah melalui zaman perpecahan akibat pengkhianatan dan itu adalah antara zaman paling gelap serta kelam bagi parti namun kita bertahan.
“Bukan itu saja, malah PKR akhirnya berjaya menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Jadi saya tak jangka kali ini akan separah itu (2019). Ini kerana tak berlaku pengkhianatan seburuk dan sejahat seperti apa dilakukan, kita saksikan terutama sewaktu Langkah Sheraton.
“Saya percaya PKR akhirnya akan beroleh perpaduan selepas pemilihan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Taklimat Media Sempena Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata dalam usaha merapatkan kembali saf PKR, pimpinan akan turun ke akar umbi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Selepas pemilihan ini, dalam tempoh sebulan dua, pimpinan akan turun ke cabang dan negeri untuk merapatkan saf serta mengeratkan semula silaturahim.
“Memang adat proses pemilihan, ramai mencabar dan bersaing bagi jawatan yang hanya sebanyak itu. Namun, parti sentiasa memikirkan cara untuk dikumpulkan dan dirangkulkan serta dibawa bersama seluruh kekuatan akan disediakan ruang dan peluang mungkin jawatan serta fungsi tertentu supaya semua yang bertanding tetapi tidak berjaya masih boleh bersama pada peringkat pusat,” katanya.
Beliau juga menyifatkan suasana dalaman parti ketika ini amat baik.