22 MEI : Malaysia perlu melakukan pembaharuan ekonomi domestik sebelum memperluas kerjasama dengan negara luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu penting dalam usaha menangani kesan perubahan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).
Ini termasuk memperluas kerjasama melalui ASEAN dan rakan utama seperti China, India, Pakistan selain memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Kata Anwar, EU agak dramatik dalam keputusannya untuk berinteraksi dengan lebih agresif dan aktif bersama ASEAN.
Jelasnya, Malaysia melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sudah mengadakan libat urus awal dan berunding dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Setakat ini katanya, perbincangan awal itu bersifat positif dan menyediakan platform untuk menjelaskan kedudukan perdagangan Malaysia.
“…kemudian terdapat pertemuan susulan. Seperti yang anda tahu di Korea Selatan dan secara menakjubkan, kita telah menyaksikan kenyataan ini oleh ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan, yang mana pada fikiran saya ia sangat positif kerana ia menunjukkan bahawa kita bersedia untuk melihat perkara ini dan mempromosikan keterbukaan terhadap multilateralisme.
“Tetapi pada peringkat ini, ia masih terlalu awal. Setiausaha Rubio telah mengadakan sesi panjang bersama Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), saya juga berbincang dengan beliau.
“Tetapi selain daripada itu, AS telah berjanji untuk melihat perkara ini secara simpatetik dan memberi sokongan kepada kita,” katanya, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian pada sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan perubahan tarif AS dan Malaysia akan terus memantau keadaan untuk bertindak balas dengan sewajarnya.
Dalam pada itu katanya, Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan.
Katanya, selain rakan kongsi tradisional seperti China dan AS, Malaysia juga sedang meneroka pasaran baharu, menjalinkan hubungan dagang dengan Rusia serta menyertai Sidang Kemuncak BRICS yang akan diadakan di Rio de Janeiro, Brazil pada 6 hingga 7 Julai.
Menurutnya, industri semikonduktor Malaysia merupakan sektor ‘paling positif’ kerana dikecualikan tarif oleh AS.
“Jadi, mengenai semikonduktor ia adalah yang paling positif. Buat masa ini, ia dikecualikan daripada tarif, betul? Tetapi berkenaan dengan Presiden, kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok atau malam ini. Tetapi buat masa ini, ia agak selamat,” katanya.
Katanya lagi, meski berlaku kelembapan ekonomi di beberapa negara namun gergasi teknologi global terus melabur dalam sektor semikonduktor Malaysia termasuk Microsoft, Google dan Nvidia.