AS batal kelayakan Harvard ambil pelajar antarabangsa
23 MEI : Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilapor membatalkan kelayakan Universiti Harvard untuk menerima pelajar antarabangsa, berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu disahkan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem, semalam.
“Dengan ini saya memaklumkan berkuat kuasa serta-merta pensijilan Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) Universiti Harvard dibatalkan,” katanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Noem berkata, keputusan itu susulan Harvard didakwa ‘memupuk keganasan, antisemitisme serta bersekongkol dengan Parti Komunis China di kampusnya’.
“Ia adalah satu keistimewaan, bukan hak bagi sesebuah universiti untuk mendaftarkan pelajar asing dan mendapat manfaat daripada yuran pengajian yang lebih tinggi bagi mengukuhkan tabung endowmen bernilai berbilion dolar.
“Harvard sudah diberi banyak peluang untuk melakukan perkara yang betul, namun menolaknya.
“Mereka kehilangan pensijilan SEVP kerana gagal mematuhi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Harvard, Jason Newton menegaskan tindakan kerajaan itu tidak sah dari sisi undang-undang.
“Kami komited sepenuhnya untuk memastikan Harvard terus menjadi tuan rumah kepada pelajar dan sarjana antarabangsa yang datang dari lebih 140 negara dan memberikan sumbangan besar kepada universiti serta negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS menamatkan geran persekutuan berjumlah AS$60 juta kepada Harvard.
Sebelum ini, pentadbiran Trump membekukan lebih AS$2.2 bilion dalam bentuk geran persekutuan.
*Foto: Facebook Harvard University
Photo by Grace DuVal