23 MEI : Deklarasi Kuala Lumpur (Deklarasi KL) bukan sekadar satu dokumen diplomatik, malah ia merupakan manifestasi tekad Malaysia untuk mengangkat semula peranan ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang dihormati dan berpengaruh di peringkat global.
Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berkata penghormatan dan pengaruh tersebut bukan sekadar dalam perkara yang melibatkan blok serantau sahaja, tetapi turut memberi tumpuan terhadap kestabilan dunia.

“Deklarasi KL tahun ini membuktikan tindakan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menjadikan rantau ini satu suara kolektif yang dihormati bukan sekadar dalam kalangan ahli, tetapi juga oleh kuasa-kuasa besar dunia.
“Menerusi Deklarasi KL ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ASEAN terlibat dalam perkara-perkara yang bukan sahaja dekat dengan kita, namun juga perkara jauh yang boleh memberi kesan kepada kestabilan global.
“Ia juga dilihat mahu menjadikan ASEAN lebih dihormati dan disegani kerana beliau (Anwar) mahu penglibatan ASEAN bukan sahaja di dalam organisasi itu sahaja seperti krisis di Myanmar tetapi ia juga melibatkan isu negara-negara jiran yang lain seperti konflik Pakistan, perang Ukraine dan juga di Gaza, Palestin” katanya ketika dihubungi BBCPORTAL.
Laman web rasmi ASEAN 2025 menyatakan Deklarasi KL berkait Visi Komuniti ASEAN 2045 dijangka akan ditandatangani dan dilancarkan pada 26 Mei ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata Deklarasi KL kali ini lebih dilihat membawa pendekatan lebih tegas dan terbuka, khususnya dalam membuka ruang diplomasi seperti yang dilakukan terhadap krisis Myanmar.
“Tidak seperti Deklarasi Langkawi 2015 yang memberi tumpuan kepada pembinaan komuniti serantau, Deklarasi KL kali ini menunjukkan peralihan sikap rantau ini dari pasif kepada lebih proaktif…ia termasuk dalam isu sensitif yang selama ini dianggap di luar batas pengaruh ASEAN.
“Dalam isu Myanmar, ASEAN dikatakan agak pasif sebelum ini kerana tidak banyak campur tangan diberikan…berbeza dengan Kepengerusian ASEAN pada tahun ini di mana Malaysia memberi tekanan, seterusnya komunikasi terus dengan pimpinan tentera berjaya diwujudkan,” katanya.
Malaysia menjadi tuan rumah untuk Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sempena persidangan itu, turut dijadual berlangsung adalah dua mesyuarat peringkat tinggi iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
*Foto utama : Facebook Bernama
OLEH: AISYAH BADRUL