23 MEI : Deklarasi Kuala Lumpur (Deklarasi KL) yang bakal ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di ibu negara merupakan komitmen politik tinggi yang membawa aspirasi bersama terhadap keamanan, kemakmuran dan ketahanan serantau.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mempunyai peluang emas bagi menjadikan kepengerusiannya sebagai warisan diplomatik yang mengangkat rantau itu ke tahap lebih dihormati dan berpengaruh di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat pelaksanaan deklarasi yang memfokus kepada transformasi digital, keterangkuman ekonomi, kelestarian alam sekitar serta solidariti serantau itu tidak terlepas daripada beberapa cabaran struktur.
Katanya, pelaksanaan secara seragam sukar dicapai sekiranya wujud ketidaksamaan dari segi kapasiti dalam kalangan negara anggota, seperti Singapura yang mempunyai tahap kesiapsiagaan digital dan kemampanan ekonomi yang jauh lebih tinggi berbanding Myanmar dan Laos.
“Selain itu, konflik dalaman, ketidakstabilan politik seperti situasi di Myanmar, pertikaian di Laut China Selatan serta isu penindasan hak asasi manusia terus menjadi cabaran utama kepada solidariti dan kesepaduan ASEAN.

“Perbezaan antara keutamaan konsensus dan keperluan keputusan tegas dalam ASEAN jelas ketara, apabila prinsip non-interference dan amalan konsensus sering memperlahankan tindakan kolektif yang diperlukan…ia menjadikan banyak deklarasi hanya tinggal sebagai komitmen normatif tanpa instrumen penguatkuasaan.
“Justeru itu, pelaksanaan deklarasi ini memerlukan bukan sahaja komitmen politik tetapi juga pelan tindakan terperinci dengan indikator pencapaian yang konkrit dan mekanisme pemantauan berkala,” katanya ketika dihubungi BBCPORTAL.
Laman web rasmi ASEAN 2025 menyatakan Deklarasi KL berkait Visi Komuniti ASEAN 2045 dijangka akan ditandatangani dan dilancarkan pada 26 Mei ini.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata Malaysia mampu memanfaatkan reputasinya sebagai sebuah negara sederhana dan berkecuali dalam geopolitik dengan menjadi jambatan antara kuasa besar dan negara-negara kecil.
Menurutnya, Malaysia juga berupaya menonjolkan ASEAN sebagai zon keamanan, kebebasan dan berkecuali di peringkat antarabangsa.
“Malaysia juga perlu mengusulkan Kuala Lumpur Action Plan yang menstrukturkan deklarasi ini kepada inisiatif nyata dengan pencapaian, penanda aras dan garis masa yang jelas khususnya dalam bidang ekonomi digital, tenaga boleh baharu dan rantaian bekalan ASEAN.
“Selain itu, Malaysia boleh mencadangkan pemerkasaan Sekretariat ASEAN di Jakarta, termasuk memberi kuasa pentadbiran lebih tinggi bagi menyelaras pemantauan deklarasi…dengan ini, Malaysia bukan sahaja menjadi pengerusi upacara, tetapi pemacu kepimpinan substantif bagi satu dekad akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Deklarasi KL mampu menjadi titik tolak baharu bagi ASEAN sekiranya ia diterjemahkan secara realistik, dipimpin secara strategik serta dikomunikasikan secara holistik.
“ASEAN harus memanfaatkan pelantar seperti ASEAN Digital Broadcasting dan bekerjasama dengan media antarabangsa seperti Al Jazeera, Nikkei Asia serta The Diplomat di samping mengguna platform profesional seperti LinkedIn Diplomacy bagi memperkukuh peranan ASEAN dalam isu global.
“Penyertaan sektor ketiga seperti komuniti usahawan, belia, badan bukan kerajaan (NGO) dan akademik melalui ASEAN People’s Forum serta pertemuan sampingan juga penting bagi memastikan deklarasi ini menjadi suara masyarakat serantau, bukan sekadar suara kerajaan,” katanya.
*Foto : Facebook BERNAMA
OLEH: AISYAH BADRUL