23 MEI : Anjakan besar perlu dilakukan bagi memastikan agenda bumiputera yang dirangka dapat dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga bagi memastikan hasil pemukiman Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijelmakan dan bukan sekadar atas kertas.
Kata Ahmad Zahid, penyertaan bumiputera dalam ekonomi perlu dilonjakkan dengan melaksana segala gerak kerja berstruktur dan pelan yang diatur.
“Saya mahukan satu dorongan mantap dan momentum nasional untuk menjadikan misi ini sebagai satu gerakan sebenar.
“Setakat ini, pelaksanaan program dan projek di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) telah mencapai lebih dari 15 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sesi Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata komunikasi strategik di bawah PuTERA35 perlu diperkemas segera dengan pelan komunikasi yang jelas, agresif serta konsisten.
“Rakyat berhak tahu berapa usahawan bumiputera telah dilahirkan tahun ini? Berapa yang telah naik daripada mikro kepada perusahaan sederhana? Berapa graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bergaji RM4,000 ke atas?
“Data tanpa naratif tidak hidup. Naratif tanpa data hanyalah propaganda,” katanya.
Tegasnya, PuTERA35 merupakan komitmen nasional dalam rangka mengukuhkan penguasaan bumputera dalam ekonomi namun ia tidak akan menjadi kenyataan jika tidak dilaksanakan dengan disiplin dan ketegasan.
“Sebab itu, saya mahu semua yang berada di sini hari ini sama ada kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), penyelaras mahupun pelaksana, kita mesti bergerak seiring, menyemak dengan jujur, menilai dengan telus dan bertindak dengan tegas.
“Kita sudah ada pelan. Kita sudah ada struktur. Kini, yang diperlukan ialah disiplin pelaksanaan dan keberanian membuat keputusan,” katanya.