Pusat sokong usaha Johor pastikan infra pada tahap tertinggi

23 MEI : Kerajaan Persekutuan menyatakan sokongan terhadap usaha memastikan infrastruktur dan kemudahan berada pada tahap tertinggi di Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu penting dalam memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan kejayaan menyeluruh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pertumbuhan baharu Johor.
“Saya menghargai taklimat Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) berkenaan kemajuan pelaburan luar, khususnya di JS-SEZ. Alhamdulillah, inisiatif antara dua negara ini telah berjaya menarik minat dan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur untuk melabur di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook rasminya selepas Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Terdahulu, Anwar tiba di Johor bagi menghadiri beberapa perencanaan penting yang dimulakan dengan mesyuarat tersebut bersama Onn Hafiz, pimpinan negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut membentangkan projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Johor termasuk isu bekalan air mentah, sistem akses di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.
Selain itu, turut dibentang berkait pengoperasian Hospital Pasir Gudang, hal ehwal tanah serta beberapa projek pra-pelaksanaan yang sedang dirancang.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan dalam mesyuarat berkenaan beliau menegaskan komitmen terhadap kecekapan tadbir urus dan integriti.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan soal penjimatan supaya lebihan itu dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak.
“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan komitmen terhadap tadbir urus yang cekap dan berintegriti, khususnya dalam aspek pengurusan, kewangan dan pentadbiran.
“Ini termasuk soal keselamatan dan kesihatan rakyat dalam pelaksanaan projek yang melibatkan perolehan peralatan dan perkhidmatan.
“Kita perlu menerapkan pendekatan berhikmah dan berfikir di luar kotak agar penjimatan yang dicapai dapat disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak terutamanya dalam bidang kesihatan awam dan pendidikan,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK