26 MEI : Deklarasi Kuala Lumpur, ‘ASEAN 2045: Masa Depan Bersama’ iaitu dokumen strategik jangka panjang dimetrai hari ini di pentas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Dokumen itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 diikuti sembilan lagi pemimpin negara anggota.
Deklarasi itu bagi menggantikan ‘ASEAN 2025: Maju Bersama’, yang diterima pakai pada 2015.
Dokumen itu merangka hala tuju ASEAN bagi tempoh dua dekad akan datang yang melambangkan pencapaian penting komitmen blok serantau ke arah membina komuniti yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat.
Anwar menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang menyumbang terhadap deklarasi tiu.
“Saya merakamkan penghargaan mendalam kepada semua yang telah menyumbang kepada visi ini yang dibentuk dengan ketekunan dan pragmatisme.
“Sepuluh tahun lalu, di bandar ini, kita melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2025. Detik itu mengukuhkan peranan ASEAN sebagai sauh kestabilan dan pusat graviti ekonomi yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, hari ini.
Dokumen itu turut ditandatangani Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Loas, Sonexay Siphandone; Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Aung Kyaw Moe.
Deklarasi itu kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Antara yang digariskan dalam dokumen itu termasuk memperkukuh kedudukan ASEAN dalam ekonomi global sebagai pasaran tunggal yang mampan, pintar dan bersambung.
Selain itu, ia juga bagi mewujudkan komuniti inklusif yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial serta menjadikan ASEAN sebagai entiti aktif di peringkat antarabangsa yang menjunjung prinsip keamanan, multilateralisme dan tadbir urus yang baik.