Deklarasi KL iltizam jadikan ASEAN tiang kestabilan

26 MEI : Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ‘ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita’ yang dimetrai hari ini mencerminkan iltizam untuk menjadikan rantau ini sebagai tiang seri kestabilan.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan apa yang digariskan dalam dokumen itu perlu diurus secara berhemah.
“Deklarasi KL mencerminkan iltizam Malaysia dan negara anggota ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai tiang seri kestabilan, tatkala dunia bergelut dengan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.
“Namun dalam kita menggapai langit menerusi inovasi dan teknologi baharu, saya tegaskan bahawa usaha ini mesti diurus secara berhemah agar kemajuan tidak mengorbankan keadilan dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan usai pemetraian dokumen penting itu sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025, hari ini.
Beliau berkata Malaysia berbangga menjadi pemacu utama di sebalik lahirnya Deklarasi Kuala Lumpur itu.
Menurut Anwar, ketika berucap pada majlis itu, beliau menegaskan bahawa deklarasi tersebut sebagai lambang tekad bersama untuk memacu integrasi serantau, menjunjung kemakmuran yang adil dan membina masa depan ASEAN yang lebih bersatu, berdaya tahan serta berpaksikan rakyat.
“Menerusi deklarasi ini, ASEAN berikrar untuk tidak hanya menyesuaikan diri tetapi turut menerajui perubahan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital serta ekonomi hijau dan biru.
“Saya turut gariskan keperluan membina pertumbuhan mampan dengan memperkasa potensi insan, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf hidup seluruh warga rantau ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang menandatangani dokumen itu sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini berharap ikhtiar itu menjulang ASEAN ke mercu lebih tinggi.
“Wawasan ASEAN 2045 ialah ikrar kepada generasi akan datang bahawa masa depan rantau ini harus dibina atas asas kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
“Semoga ikhtiar ini menjulang ASEAN ke mercu tertinggi dan menjadi sumber kebanggaan kepada seluruh rakyat di rantau ini,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK