26 MEI : Arab Saudi menahan 14 individu atas perlanggaran peraturan Haji dengan membawa 44 individu tanpa permit Haji, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, kesemua individu berkenaan ditahan Pasukan Keselamatan Haji di pintu masuk ke Mekah.
Kata kementerian itu, 14 individu itu terdiri daripada lima penduduk dan sembilan warganegaranya.
Hukuman yang ditetapkan bagi mana-mana individu melanggar peraturan haji termasuk penjara, denda sehingga SR100,000 (AS$26,660), pendedahan identiti pelaku kepada umum serta pengusiran ke atas penduduk bukan warganegara dengan larangan memasuki semula Arab Saudi selama 10 tahun selepas menjalani hukuman.
Selain itu, prosiding mahkamah juga dijalankan untuk merampas kenderaan yang digunakan dan mengenakan denda sehingga SR20,000 (AS$5,332) ke atas individu yang cuba menunaikan haji tanpa permit.
Setakat ini, Direktorat Jeneral Pasport melaporkan sehingga 24 Mei, 961,903 jemaah sudah tiba di Arab Saudi bagi musim Haji 1446H melalui jalan udara, darat dan laut.
Daripada jumlah itu, 912,598 jemaah tiba melalui lapangan terbang, 45,028 melalui pintu masuk darat dan 4,277 melalui laluan laut.