Malaysia-Kemboja berunding, perkukuh kerjasama

26 MEI : Malaysia dan Kemboja membincangkan kerjasama antara kedua-dua negara yang bakal diperkukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan dengan rakan sejawatannya, Hun Manet itu meliputi pelbagai bidang termasuk pelaburan, perdagangan dan industri halal.
“Mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Kami membincangkan terkait kerjasama antara kedua-dua negara yang perlu terus diperkukuh demi manfaat dan kesejahteraan bersama.
“Ia meliputi bidang pelaburan dan perdagangan, industri halal, keselamatan siber, perbankan Islam, tenaga, pertahanan, pelancongan, pertanian serta pendidikan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kerjasama erat antara Malaysia dan Kemboja itu merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua negara untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk rantau yang aman, stabil dan makmur.
Semalam, Hun Manet ditemani isterinya, Pich Chanmony bersama delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini.
Beliau sempat memeriksa kawalan kehormatan oleh 28 anggota dan pegawai dari Batalian Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

*OLEH : HANUM RAJAK