26 MEI : Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China buat julung kalinya menjadi detik penting dalam landskap kerjasama rantau ini dan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata melalui persidangan itu, tiga blok utama dunia dipertemukan atas pentas sama sekali gus mencerminkan tahap keyakinan dan kebergantungan yang semakin meningkat antara wilayah.
Tegasnya, sistem multilateralisme itu perlu dipertahankan dan memastikan model geo-ekonomi ASEAN-GCC-China memainkan peranan.
“Saya percaya Sidang Kemuncak Trilateral ini merupakan manifestasi kejayaan dalam merangka semula matriks perkongsian yang sejajar dengan realiti dunia multipolar masa kini.
“Ia melambangkan kekuatan perpaduan blok-blok serantau yang sudah tentu akan membawa impak positif kepada dunia secara keseluruhan.
“Kita mesti mempertahankan sistem multilateralisme dan memastikan bahawa model geo-ekonomi ASEAN-GCC-China terus memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan, demi rantau dan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara, hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China itu merupakan sidang trilateral yang pertama kali diadakan dalam sejarah melibatkan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara(ASEAN), GCC dan Republik China.
Penganjuran itu juga sebagai usaha pengukuhan kerjasama antara Asia Tenggara, Timur Tengah dan China yang memainkan peranan penting dalam ekonomi serta geopolitik global.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata aliran bebas perdagangan, modal dan mobiliti manusia menjadi tiang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
Menurutnya, selama ini sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan menjadi asas kepada kejayaan ASEAN.
Namun katanya, asas-asas tersebut kini semakin terhakis akibat tekanan dan dasar perlindungan yang semakin meluas.
“Meskipun berdepan cabaran yang kompleks, ASEAN tetap optimis terhadap keupayaannya untuk bertahan dan bergerak ke hadapan.
“Prinsip kepusatan ASEAN dan keazaman untuk menentukan masa depan sendiri menjadi asas kepada daya tahan yang kukuh dalam menghadapi perubahan global,” katanya.
