ASEAN tuntut penyelesaian muktamad untuk Palestin

27 MEI : ASEAN menuntut penyelesaian muktamad terhadap nasib yang menimpa Palestin susulan tindakan zalim Israel.
Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan ASEAN bagi tahun ini menyuarakan perkara itu, hari ini.
Tegasya, ASEAN tegas menentang sebarang bentuk penjajahan terhadap mana-mana negara termasuk di Gaza.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia dan ASEAN menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan penyelesaian bagi mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat.
“Oleh itu, saya menolak penjajahan ke atas mana-mana negara. Kita dibesarkan untuk menghormati maruah dan aspirasi manusia.
“Maka, kami berharap resolusi ini membawa kepada pengakhiran terhadap kekejaman berdekad-dekad yang dilakukan oleh Israel, gencatan senjata serta-merta dan pengiktirafan terhadap penyelesaian dua negara.
“Penyelesaian ini juga dikongsi oleh banyak negara dalam ASEAN sebagai langkah ke arah menamatkan keganasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan komuniti antarabangsa tidak boleh menutup mata dengan penderitaan rakyat di Palestin.
Katanya lagi penderitaan di Gaza itu menjadi keprihatinan utama Malaysia dan negara anggota ASEAN.
Justeru itu, komuniti antarabangsa katanya perlu berganding bahu membantu Palestin ke arah penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia