Kepusatan ASEAN buka ruang kerjasama strategik dengan kuasa besar

27 MEI : Prinsip kepusatan ASEAN membuka ruang kerjasama strategik dengan semua kuasa besar dunia termasuk China dan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook sempena penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, malam ini.
“Saya tegaskan bahawa keutamaan ASEAN kekal pada kesejahteraan rakyat, perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi yang saksama.
“Berpegang kepada prinsip kepusatan ASEAN, kita akan terus menjalin kerjasama strategik dengan semua kuasa besar dunia sama ada China, AS mahupun negara-negara lain demi kepentingan serantau,” katanya.
Menurut Anwar, persidangan kali ini merupakan antara yang paling substantif dalam sejarah ASEAN bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan penuh makna.
“Kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China turut mencatat kemajuan ketara. Tidak lagi bersifat formaliti semata-mata. Perbincangan kali ini jauh lebih teliti, menyentuh isu-isu seperti tarif, projek bersama serta peranan bersama dalam mendukung keamanan dan kestabilan rantau,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata banyak isu penting yang lazimnya dibincangkan kemudian dapat diselesaikan lebih awal daripada kebiasaan.
“Ini termasuk mengenai Myanmar, tarif dan perdagangan intra-ASEAN. Kini, tumpuan utama kita ialah menjelmakan kesepakatan ini kepada tindakan nyata menjelang pertemuan seterusnya pada Oktober.
“Sidang turut bersetuju memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara ASEAN dan GCC bagi membuka ruang baharu untuk memperluas pasaran, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
“Saya percaya semangat yang ditunjukkan oleh semua pemimpin ASEAN kali ini mencerminkan tekad baru untuk menjadikan ASEAN benar-benar berpaksikan rakyat demi masa depan yang lebih mampan dan terangkum,” katanya.

Beliau sempat melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan penganjuran berprestij itu.
“Alhamdulillah, Malaysia menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan penuh bermakna. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan kerjasama erat pelbagai kementerian dan agensi serta pasukan keselamatan negara.
“Dalam sidang media penutup persidangan, saya zahirkan penghargaan tertinggi buat semua sahabat-sahabat pimpinan ASEAN atas semangat setiakawan luar biasa yang ditunjukkan,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK