27 MEI : Kerajaan masih belum jelas dengan kedudukan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, baru-baru ini.
urucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata setakat ini masih tiada sebarang maklumat diterima berkait status Rafizi.
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Komunikasi meminta orang ramai untuk terus menanti perkembangan selanjutnya.
“Ya, ASEAN masih belum tamat. Hari ini adalah hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang sedang berlangsung.
“Saya belum ada maklumat lanjut setakat ini, jadi kita perlu tunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Google’s Project Sigma: Engaging Malaysian Gen Z for News, hari ini.
Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata akan meletakkan jawatannya dalam Kabinet jika gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti bagi tahun ini.
Dalam pemilihan bagi sesi 2025-2028 itu, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dengan hanya meraih 3,866 undi sementara Nurul Izzah mendapat 9,803 undi.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata setakat ini masih tiada tarikh ditetapkan untuk Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas pemilihan selesai.