Timor-Leste diterima jadi anggota penuh ASEAN Oktober ini

27 MEI : ASEAN dijangka bakal menerima keanggotaan penuh Timor-Leste pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual pada Oktober depan.
Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu, hari ini.
Jelas Anwar, hanya ada satu atau dua perkara yang masih perlu dipenuhi Timor-Leste sebelum boleh diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
“Mereka berusaha keras…Malaysia, Indonesia dan beberapa negara membantu dalam pelbagai cara untuk memastikan mereka memenuhi syarat ditetapkan.
“Keputusannya ialah Timor-Leste akan diterima sebagai anggota penuh pada sesi Oktober akan datang,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN 2025, hari ini.
Semalam, Perdana Menterinya, Xanana Gusmão melahirkan keyakinan terhadap penerimaan keanggotaan tersebut susulan negaranya sudah mencatat kemajuan ketara bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Timor-Leste diberikan status pemerhati pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja 2022 selepas diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Timor-Leste yang memiliki 1.4 juta penduduk diiktiraf sebagai negara terbaharu di Asia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2002.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia