28 MEI : Persaingan teknologi global dalam kecerdasan buatan (AI) didominasi Amerika Syarikat (AS) dan China memberi manfaat kepada Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bukan ikut bersaing sebaliknya Malaysia memilih pendekatan seimbang dengan bekerjasama bersama kedua-dua kuasa itu.
“Fakta menunjukkan dunia AI hari ini diterajui dua kuasa besar iaitu AS dan China. Persaingan teknologi ini mengesahkan bahawa kedua-dua negara berada di hadapan dari segi penyelidikan AI, pelaburan serta pengaruh global.
“Bagi sebuah negara seperti Malaysia, penyelesaian atau pendirian praktikal kita ialah kita tidak perlu memilih mana-mana pihak,” katanya, lapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi panel Forum Ekonomi ASEAN-GCC Fortune di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, pendirian Malaysia itu membolehkan alatan AI yang paling relevan, mampu milik dan berkesan dibawa masuk ke dalam negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pendekatan diambil Malaysia membolehkan lebih banyak ruang rundingan dijalankan bagi melindungi kepentingan nasional.
Pada masa sama tegasnya, Malaysia hanya memilih yang terbaik mengikut keperluan rakyat.
Selain itu katanya, dasar pintu terbuka yang diamalkan Malaysia juga memberi kelebihan dalam membina kepercayaan dengan lebih banyak rakan di peringkat ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan global.
“Dasar pintu terbuka kita bermaksud anak muda kita boleh menjalani latihan di Silicon Valley atau Shenzhen dan syarikat-syarikat kita boleh belajar daripada pemain AI dari kedua-dua AS dan China.
“Saya percaya ini merupakan manfaat jelas daripada pendirian kita yang memilih untuk menikmati kelebihan daripada kedua-dua kuasa.
“Kita bukan menumpukan kepada pembangunan teknologi AI itu sendiri tetapi bagaimana kita boleh memanfaatkan aplikasi AI untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itu keutamaan kita buat masa ini,” katanya.
*Foto : Facebook Saifuddin Nasution Ismail