28 MEI : Meski sudah meletakkan jawatan daripada Kabinet, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat masih mempunyai banyak idea yang boleh diberikan kepada kerajaan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melahirkan keyakinan Rafizi akan terus membentuk masa depan negara dengan caranya sendiri.
“Pemikiran seperti Rafizi akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak. Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi.
“Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun depan selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti, baru-baru ini.
Dalam kenyataan sama, Nurul Izzah berkata beliau menghormati Rafizi yang memperkenalkan gagasan dan dasar di negara ini justeru itu ideanya itu tidak bakal dilupakan malah akan diteruskan.
“Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran. Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan, dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya.
“Banyak idea beliau, yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata kepimpinan parti kini memfokus kepada usaha memperkukuh dan memastikan pimpinan tertinggi sentiasa dipantau dengan baik.
“Saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan. Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang serta perjuangkan selama ini.
“Sebagai langkah awal, fokus kami terarah kepada memperkenalkan latihan wajib khusus kepada semua pemimpin parti di peringkat pusat, negeri dan cabang tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah serta pematuhan cukai kerana tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip juga ilmu yang kukuh.
“Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka. Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK