28 MEI : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima Ketua Pengarah yang baharu, berkuat kuasa esok.
Ketua Jabatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dilantik bagi menggantikan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan Dr Mahathar, 56 diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Dr Mahathar berkelulusan Bachelor of Medical Science daripada University St Andrews, Scotland, Bachelor of Medicine and Bachelor Surgery (University of Manchester, United Kingdom) serta Master of Emergency Medicine (Universiti Sains Malaysia).
“Beliau dilantik pada 1 Oktober 1996 sebagai pegawai perubatan di KKM dan jawatan terakhir adalah Ketua Jabatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shamsul Azri, beliau percaya dengan kemampuan Dr Mahathar untuk memacu agenda reformasi kesihatan negara.
“Saya percaya dengan kompetensi dan kredibiliti beliau untuk memacu agenda reformasi kesihatan yang sedang dilaksanakan pada masa ini untuk penyampaian perkhidmatan kesihatan yang cekap, mesra serta profesional dalam memastikan manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.
Dr Muhammad Radzi yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 21 April 2023 itu bersara wajib 1 Mei lalu.