28 MEI : Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet selepas beberapa jam pengumuman sama dibuat Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nik Nazmi membuat keputusan itu selepas gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti, baru-baru ini.
“Saya sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025.
“Saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri Kabinet berkuat kuasa 17 Jun depan selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan tersebut.
Dalam pada itu, Nik Nazmi sempat merakamkan penghargaan kepada penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat kementeriannya serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang banyak mengajarnya sekali gus memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.
Nik Nazmi dilantik ke dalam Kabinet sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 sebelum dipinda kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Disember 2023 hingga kini.
“Saya berusaha sebaik mungkin bersama timbalan menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.
“Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1 serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.
“Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.
“Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan,” katanya.
Tambahnya, kementeriannya juga sudah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke jemaah menteri dan Parlimen.
Nik Nazmi kini mahu menumpu kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa.
*OLEH : HANUM RAJAK