28 MEI : Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengotakan katanya dengan meletakkan jawatan dalam Kabinet berkuat kuasa 17 Jun selepas tewas dalam Pemilihan PKR 2025 lalu.
Rafizi dalam satu kenyataan hari ini berkata surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya melalui kenyataan itu.
Terdahulu, statusnya dalam Kabinet menjadi tanda tanya selepas beberapa hari pemilihan parti itu berakhir.
Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata akan meletakkan jawatannya dalam Kabinet jika gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti bagi tahun ini.
Dalam pemilihan bagi sesi 2025-2028 itu, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dengan hanya meraih 3,866 undi sementara Nurul Izzah mendapat 9,803 undi.
Dalam pada itu, Rafizi berkata kekalahan dalam pemilihan itu menunjukkan beliau tiada lagi mempunyai mandat daripada parti keramatnya itu dan memilih untuk memberi laluan kepada yang menang untuk berada dalam kerajaan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.
Menurutnya, amanah terakhir sebagai Menteri Ekonomi disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sudah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen pada sidang seterusnya.
“RMK13 sudah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap jemaah menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada dalam jemaah menteri,” katanya.
Beliau sempat menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi dukungan penuh kepada kepimpinannya.
“Saya melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.
“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.
“Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK