29 MEI : Siasatan terhadap tindakan individu memijak Jalur Gemilang yang disiarkan secara langsung dalam aplikasi TikTok sedang dijalankan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu, hari ini.
Menurut Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bertindak terhadap kes tersebut.
Tegasnya, kerajaan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak mempersenda dan menghina Jalur Gemilang yang menjadi lambang kedaulatan, perpaduan serta identiti negara.
“Tindakan tegas akan diambil,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan video siaran langsung itu didakwa distrim dari Sri Lanka dan berada dalam talian selama lebih empat jam.
Siaran itu dipercayai menjadi medan perang siber antara pengguna di Malaysia dan Sri Lanka.