29 MEI : Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur merupakan persidangan paling substantif dalam sejarah ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas persidangan dua hari yang menghimpunkan pemimpin dan ketua negara itu menutup tirai, semalam.
Menurut Anwar, Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Asean 2045: Masa Depan Bersama yang dimetrai juga melambangkan keupayaan negara dalam membuat perencanaan untuk 20 tahun ke depan.
“Alhamdulillah, Malaysia berjaya menganjurkan antara persidangan paling substantif dalam sejarah ASEAN bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan bermakna.
“Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 turut dimasyhurkan, melambangkan keupayaan Malaysia merencana pelan strategik 20 tahun ke hadapan bagi rantau ini pasca-2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ringkas di Facebook rasminya, hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar berkongsi pencapaian utama dalam persidangan itu termasuk Malaysia memimpin, ASEAN mendengar dan ekonomi digital, peluang global.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malayia turut mencatat kemajuan besar dalam ekonomi digital, pelaburan hijau, keterangkuman sosial serta kerjasama serantau yang lebih tersusun bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Menurut Anwar, ASEAN kini tampil lebih bersatu, berpaksikan rakyat dan bersedia melangkah ke hadapan dengan tekad yang segar.
Terdahulu, kejayaan penganjuran persidangan itu dipuji Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Kata Kao, penganjuran itu berjaya dari segi penyertaan dan kandungan dengan 22 dokumen dimuktamadkan sepanjang sidang berlangsung.
Menurutnya lagi, dalam persidangan itu, pemimpin ASEAN dapat mengadakan perbincangan dengan jujur dan terbuka khususnya berkait krisis di Myanmar dan tekanan ekonomi serantau.
*OLEH : HANUM RAJAK